Kemudahan warga tua perlu diselaras

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersedia dengan polisi dan kemudahan bersesuaian bagi menghadapi cabaran peningkatan golongan warga tua dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, dasar itu perlu dirancang dan diwujudkan sebaiknya merangkumi peranan golongan terbabit dalam masyarakat sebelum mereka memasuki fasa berkenaan selain perlu selaras dengan perubahan sosio ekonomi negara.

MESRA..Rosmah berkata sesuatu kepada seorang peserta sambil diperhatikan ( dari kiri) Rosnah & Nathan

Beliau berkata, berdasarkan rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah golongan berusia lebih 60 tahun dijangka meningkat tiga kali ganda daripada 606 juta orang ketika ini kepada dua bilion menjelang 2050.

Justeru, katanya, peningkatan bilangan golongan berusia yang berlaku di seluruh dunia adalah fenomena baru yang akan terus berkembang, malah boleh dikategorikan sebagai cabaran besar kepada dunia untuk ditangani dengan sebaik-baiknya.

“Di Malaysia, kita diramalkan mempunyai golongan pertengahan umur dewasa dan warga tua dalam jumlah besar dalam tempoh 20 tahun lagi. Situasi ini turut menyentuh kepada peralihan demografi yang bakal memberi kesan besar terhadap ekonomi, kesihatan, pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat.

“Sehubungan itu, ia memerlukan kerjasama semua pihak tidak kira kerajaan mahupun masyarakat yang perlu mengutamakan komitmen, keprihatinan serta tindakan sewajarnya yang perlu dilaksanakan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Kongres Penuaan Sihat Sedunia 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Pengerusi Penganjur, Prof Madya Nathan Vytialingam

Comments are closed.