Masalah Kesihatan Mental Meruncing

Utusan Malaysia- Sabtu- 02 April 2016

HARITH NIZAR

KUALA LUMPUR 1 April – Masalah kesihatan mental perlu dilihat sebagai perkara serius berikutan peningkatannya berlaku hampir tiga kali ganda dalam tempoh 19 tahun.

HILMI YAHAYA

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dikendali kementeriannya berhubung masalah kesihatan mental menunjukkan 10.6 peratus pada tahun 1996 dan meningkat menjadi 29.2 peratus pada tahun lalu.

“Meskipun kebiasaannya masalah kesihatan mental dapat dilihat menerusi mereka yang berumur 16 hingga 19 tahun, namun individu yang berumur 60 tahun ke atas turut menunjukkan jumlah yang banyak iaitu lebih daripada 25 peratus.

“Masalah kesihatan mental boleh menjejaskan sesiapa sahaja tanpa mengira umur mahupun jantina. Orang dewasa yang berisiko untuk mengalami masalah tersebut seringkali dikaitkan dengan penyakit melibatkan otak seperti penyakit dementia, Parkinson dan Alzheimer,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Malaysia Kelapan Berkaitan Kesihatan Pada Usia Tua di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Malaysian Healthy Aging Society (MHAS), Dr. Lim Poh Hin dan Pengerusi Penganjur Persidangan, Prof. Dr. Philip George.

Menurut Dr. Hilmi, pada tahun 2005, kira-kira 63,000 orang dikaitkan dengan kes dementia atau lebih dikenali sebagai masalah nyanyuk dan angka tersebut dijangka meningkat hingga 126,800 kes menjelang tahun 2020.

“Faktor sosial seperti masalah kemiskinan boleh menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat masalah mental dan perkara itu juga boleh terjadi sebaliknya. Antara perkara yang menjadi penghalang kepada penjagaan kesihatan mental adalah sikap stigma dan diskriminasi yang boleh jelas dilihat terhadap warga emas,” katanya.

 

 

Post a comment

*